Selangor perjelas projek pembinaan di Kompleks Sukan PKNS

SHAH ALAM 15 Nov. - Kerajaan Selangor hari ini memberi alasan cadangan pembinaan pangsapuri dan kompleks perniagaan di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kelana Jaya dekat sini adalah sebagai satu pelaburan untuk rakyat.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa, projek yang bakal dibina di atas tanah komersial itu dijangka memberi keuntungan kepada PKNS yang akhirnya akan disalurkan bagi tujuan pembangunan rakyat antaranya bagi membina rumah mampu milik dan kos rendah.
"Kalau tidak dibuat pembangunan komersial, sudah tentu kita tidak dapat nilai terbaik.
"Jika dibuat mengikut perancangan, PKNS dapat untung dan ia boleh disalurkan untuk pembangunan rumah mampu milik dan kos rendah yang diperlukan oleh masyarakat di seluruh Selangor," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia) mengenai bantahan penduduk setempat terhadap pembangunan tujuh blok pangsapuri 35 tingkat dan sebuah kompleks perniagaan 15 tingkat di atas tapak Kompleks Sukan PKNS dekat sini.
Abdul Khalid menambah, sebelum ini beberapa projek pembangunan rumah murah PKNS menggunakan kaedah pengurangan kos menyebabkan ia hanya dapat dihuni dalam tempoh maksimum satu dekad.
Katanya, dengan pelaburan di kawasan pembangunan komersial itu, selain dapat menambah bilangan rumah mampu milik, PKNS juga dapat meningkatkan kualiti penghasilannya dengan kos yang rendah.
Sementara itu, Niz Nazmi ketika ditemui di lobi DUN berkata, PKNS sepatutnya mengadakan sesi pendengaran awam mengenai projek berkenaan.
Katanya lagi, beliau hanya mengetahui projek tersebut melalui papan tanda Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang dipamerkan di kawasan berkenaan.
"Permohonan pertama PKNS untuk projek perumahan di kawasan itu dikatakan telah ditolak oleh MBPJ minggu lalu dan permohonan baharu sedang diusahakan.
"Saya minta sebelum permohonan dibuat, Menteri Besar dan PKNS mengadakan perbincangan segera dengan penduduk setempat bagi menyelesaikan masalah ini," tegasnya.
Sumber Berita: Utusan Malaysia
Sumber Berita: Utusan Malaysia
Leave a Comment