EPL MUNGKIN LAKSANA KERJASAMA DENGAN NETFLIX


KUALA LUMPUR: Harga saham Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) tidak berubah pada dagangan pagi ini apabila pelabur lebih bersikap ‘tunggu dan lihat’ bagi perkembangan lanjut membabitkan siaran acara sukan popular, Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ini susulan berita bahawa pihak EPL berkemungkinan besar melaksanakan kerjasama menerusi kaedah penstriman digital yang menyamai Netflix bagi menjual siaran sukan secara langsung.
Sekiranya ini menjadi kenyataan, ia berkemungkinan memberi kesan kepada Astro yang juga syarikat media serta hiburan dan adalah penyiar rasmi EPL di Malaysia.
Malah, sebarang kemungkinan kegagalan menyiarkan acara sukan bola sepak itu akan hanya menjejaskan keuntungan syarikat berkenaan.
Astro pada masa ini adalah pemegang hak penyiaran eksklusif EPL bagi tempoh tiga musim sehingga 2021/22.
Pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif baharu Liga Perdana itu, Richard Masters mengumumkan hasrat pihaknya untuk melancarkan saluran penstriman digital yang dijangka bermula pada 2022.
Pada 10.50 pagi ini, saham-saham Astro tidak berubah pada harga RM1.25 dengan sejumlah 214,900 saham didagangkan. – Bernama
Sumber berita: Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.